Antara pemain KUFC yang melakar kejayaan di Liga M3. FOTO Ihsan KUFC
Syazwan Msar


PRESIDEN Kelantan United Football Club (KUFC), Datuk Che Abdullah Mat Nawi memberi jaminan mereka selaku pendatang baharu tidak akan ‘gelap mata’ dalam membayar gaji pemain bagi memastikan aspek kewangan pasukan sentiasa berada dalam kawalan.

Biarpun sedar ada banyak aspek perbelanjaan perlu ditingkatkan berbanding ketika berada di Liga M3 musim lalu, beliau sedar itu bukanlah lesen untuk Kelantan United bersikap boros walaupun sedar bukan mudah untuk bersaing di Liga Premier.

Sebaliknya pendekatan Kelantan United masih kekal biarpun bakal bersaing di pentas Liga Perdana iaitu menjadi sebuah platform anak jati serta pemain-pemain muda Kelantan mengasah bakat.

“Kami telah sedari daripada awal perkara ini iaitu daripada segi pengambilan pemain termasuk tonggak import iaitu ukur kemampuan daripada baju sendiri dan tidak terlalu terdesak dalam soal dapatkan pemain bintang.

“Ini adalah semangat umum yang kita ada bagi memastikan kami tidak akan alami masalah dalam soal pembayaran gaji, elaun dan sebagainya kepada pemain pada pertengahan musim.

“Saya lebih cenderung mahu memberi peluang kepada anak-anak muda Kelantan yang menonjol di beberapa kejohanan peringkat negeri untuk diserapkan dalam pasukan serta ada semangat yang tinggi untuk bersaing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 10:34 PM