Nor Saiful Zaini (tengah) memperkatakan sesuatu kepada pemainnya. FOTO File NSTP
Nor Saiful Zaini (tengah) memperkatakan sesuatu kepada pemainnya. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


NOR Saiful Zaini Nasiruddin mengesahkan menolak tawaran selaku penolong jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara yang kini diketuai oleh Wallace Tan.

Jelas legenda skuad hoki negara itu, dia menolak dengan baik tawaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kerana berasakan tidak sesuai untuknya menggalas tugas itu selepas empat tahun menjadi ketua jurulatih skuad remaja.

"Saya hormati keputusan MHC. Mungkin mereka berasakan Wallace lebih baik berbanding saya tapi saya tidak boleh biarkan Wallace untuk terima saja barisan kejurulatihannya.

"Jadi lebih baik untuk Wallace mencari pembantu yang sesuai dengannya. Malah saya juga sudah beritahu dia untuk menolak tawaran selaku penolong jurulatih.

"Falsafah latihan saya berbeza dengan Wallace. Jadi ia mungkin menyukarkan kami apabila bekerjasama nanti," katanya.

Jawatankuasa Kejurulatihan MHC yang diterajui oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal semalam membuat keputusan mengejut apabila melantik Wallace selaku ketua jurulatih skuad remaja lelaki ketika Nor Saiful sudah empat tahun membimbing pasukan itu.

Pemain TNB, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (tengah) diasak pemain THT pada perlawanan Liga Perdana, Liga Hoki Malaysia 2020 di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Pemain TNB, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (tengah) diasak pemain THT pada perlawanan Liga Perdana, Liga Hoki Malaysia 2020 di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Namun di sebalik itu, Nor Saiful yang juga ketua jurulatih TNB masih mampu mengukir senyuman apabila skuad bimbingannya berjaya menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 4-2 hari ini sekali gus kekal memimpin saingan Liga Perdana dengan mengumpul 15 mata.

Faizal Saari meletakkan THT di depan pada minit ke-18 menerusi gol padang tetapi TNB memperoleh empat gol selepas itu sumbangan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (m-28), Muhammad Shahril Saabah (m-38), Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m-49) dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m-52).

Faizal kemudian meraih gol kedua THT lima minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 10:46 PM
Digital NSTP Subscribe