SOLSKJAER yakin mampu mengubah kemampuan United walaupun mula dikecam teruk penyokong selepas tumpas 0-2 kepada Burnley. FOTO AFP
AFP

OLE Gunnar Solskjaer merayu diberikan sedikit masa untuk mengembalikan Manchester United ke landasan terbaik selepas dibelenggu dengan masalah pemain utama mengalami kecederaan.

Awal pagi tadi pemain bintangnya yang gagal memberikan prestasi terbaik dikutuk dan dilabel sebagai sangat memalukan selepas mereka kalah 0-2 kepada Burnley.

Pasukannya dikejutkan dengan jaringan Chris Wood pada separuh masa pertama sebelum Jay Rodriguez meledak gol cantik selepas bersambung babak kedua di Old Trafford.

Ia persembahan yang memalukan buat pasukan ditangga kelima itu, di mana prestasi buruk mereka sudah pasti akan membuatkan kedudukan Solskjaer menjadi tanda tanya dalam tempoh beberapa hari ini.

Bekas pertahanan United, Riod Ferdinand, mengherdik persembahan berkenaan dan meminta agar pemilik kelab, keluarga Glazer melakukan sesuatu untuk menghentikan kemerosotan itu.

“Penyokong berjalan keluar pada minit ke-84. Ia sangat memalukan. Mereka di bahagian pengurusan tertiggi harus melihat perkara ini dan melakukan perubahan,” kata Ferdinand.

Sementara itu, Solskjaer mengakui bahawa mereka gagal memberikan persembahan yang baik.

“Pada separuh masa pertama kami berjaya mencipta peluang tapi tidak menggunakan sebaik mungkin. Pemain saya sudah memberikan segalanya yang mereka ada namun mereka melalui pengalaman ini buat kali pertama dalam hidup mereka.

“Apabila anda di Manchester United, anda beraksi dengan kelab paling besar dan terbaik di dalam dunia. Ada di antara mereka baru bermain 10, 12, 15 perlawanan dan ia bukan mudah buat mereka,” katanya.

United enam mata di belakang pasukan tempat keempat, Chelsea namun melihatkan pergelutan yang dialami, ia agak mengejutkan kerana jurang berkenaan tidak terlalu besar.

Memungut 34 mata daripada 24 perlawanan adalah pencapaian terburuk mereka sejak 1989-90 dan majoriti penyokong berdiri apabila sambil melaungkan sorakan berbunyi ‘berdiri jika kami benci Glazers’.

Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward juga menjadi mangsa kecaman penonton, manakala ada yang kekal di dalam stadium mengutuk Solskjaer dan pemain sebaik tamat perlawanan.

Bagaimanapun, Solskjaer masih lagi percaya beliau mampu mengubah nasib United jika diberi masa untuk membangunkan pemain muda seperti Mason Greenwood dan Brandon Williams.

“Saya mahu mempertahankan dan membantu mereka untuk melalui semua ini. Pemain sudah berikan segalanya, mereka melakukan tugas dengan luar biasa setakat ini namun mereka sedar ia masih lagi belum sampai seperti yang dihajati,” kata Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 8:48 AM