LLORIS kembali merampas kedudukan penjaga gol utama Tottenham selepas sembuh dari kecederaan siku. FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mengakui ia sangat sukar untuk mengetepikan penjaga gol, Paulo Gazzaniga selepas kepulangan semula Hugo Lloris bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Norwich City awal pagi tadi.

Lloris yang membantu Perancis muncul juara Piala Dunia 2018, tidak dapat beraksi sejak mengalami kecederaan siku ketika Spurs tumpas kepada Brighton and Hove Albion awal Oktober lalu, manakala penggantinya Gazzaniga pula berjaya memberikan prestasi cemerlang.

Gazzaniga berjaya berjaya menyelamatkan sepakan penalti ketika mereka seri menentang Watford Sabtu lalu, sebelum dia kembali semula ke bangku simpanan.

“Perasaan saya bercampur-baur. Memang teruja melihat salah seorang penjaga gol terbaik dunia kembali namun keputusan berkenaan sangat sukar kerana perlu mengetepikan Paulo.

“Apa yang menyeronokkan ialah dia adalah salah seorang ahli keluarga yang baik dan kawan istimewa Hugo, kerana berkongsi kegembiraan dengan kami apabila Hugo kembali.

“Dia menyebabkan saya banyak berfikir dan saya perlu tenang tanpa sebarang gangguan emosi,” kata Mourinho selepas mereka berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Norwich seterusnya melonjak ke tangga keenam liga.

Bagaimanapun, selepas mendapat semula khidmat Lloris, Mourinho tersentak dengan situasi dialami pemain tengahnya, Harry Winks yang terhincut-hincut akibat kecederaan buku lali selepas bertembung dengan Todd Cantwell.

Tottenham kembali mendapat rentak kemenangan selepas tandukan gol lewat permainan Song Heung Min membolehkan mereka meraih tiga mata.

Dele Alli meletakkan Spurs di depan pada separuh masa pertama namun Norwich berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Teemu Pukki.

Bagaimanapun, Heung Min menanduk masuk bola pada minit ke-79 bagi membolehkan Tottenham mencatat kemenangan pertama selepas lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 9:00 AM