MCLLROY tidak buru ranking nombor satu dunia. FOTO AFP
AFP

RORY Mcllroy mampu untuk merampas semula status pemain nombor satu dunia di Torrey Pines minggu ini, namun bintang Ireland Utara itu dia akan fokus kepada permainannya dan tidak akan mempedulikan kedudukan ranking.

“Ia tidak berada dalam senarai saya untuk permulaan tahun ini. Ia semua berkaitan dengan proses dan permainan. Ia juga membabitkan peningkatan.

“Jika saya melakukan semua itu, saya mampu mencapai sasaran saya. Seterusnya mampu untuk merampas semula kedudukan nombor satu,” kata Mcllroy yang kali terakhir menjadi pemain nombor satu dunia pada September 2015.

Ketika Mcllroy berada dalam aksi konsisten di kelompok teratas sepanjang empat tahun kebelakangan ini, dia mengakui bahawa menduduki ranking nombor satu dunia bukan sasaran utamanya.

“Bagaimanapun, saya beraksi dengan konsisten sejak kebelakangan ini,” katanya selepas menerima anugera Pemain Terbaik Jelajah PGA Amerika Syarikat selepas muncul juara di Players Championship, Terbuka Kanada, Tour Championship dan HSBC Champions di Shanghai.

Dia perlu menang di Torrey Pines untuk memintas pemain Amerika Syarikat, Brooks Koepka yang berada di ranking teratas.

Bagaimanapun, Mcllroy sekali lagi mengakui bahawa fokusnya apabila memulakan kempen 2020 ialah melengkapkan kejuaraan empat kejuaraan utama.

Kemenangan di Masters April ini bakal melengkapkan kejuaraan Grand Slam sepanjang kariernya.

“Selepas melihat kembali kejuaraan utama yang dimenangi, saya akan bermula dengan baik. Tiga aksi dalam empat kejuaraan utama tahun lalu, saya bermula dengan agak perlahan. Itu perkara yang perlu saya bangkit dan tingkatkan tahun ini,” katanya.

Sukan Olimpik Tokyo dan Piala Ryder yang berlangsung pada tahun sama, menyaksikan Mcllroy akan berdepan jadual padat musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 9:41 AM