PLISKOVA berjaya mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia. FOTO AFP
Reuters

KAROLINA Pliskova meneruskan rentak kemenangan selepas menumpaskan wakil Jerman, Laura Siegemund 6-3, 6-3 untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia.

Pemain Republik Czech pilihan kedua itu belum pernah tumpas dalam sebarang perlawanan tahun ini selepas melakar enam kemenangan termasuk ketika raih trofi di Kejohanan Antarabangsa Brisbane awal bulan ini.

“Semuanya berjalan lancar ketika pramusim. Saya melakukan banyak latihan dan berasa selesa ketika di Brisbane.

“Saya sangat menyukai Australia. Saya sentiasa bermain baik di sini. Memang ia baru pusingan ketiga tapi saya sudah beraksi banyak perlawanan, jadi saya berasa yakin. Saya rasa mempunyai tenaga untuk meneruskan aksi,” kata Pliskova kepada wartawan.

Pliskova, yang mara ke separuh akhir di Melbourne tahun lalu, berasa lega terutama selepas berjaya menumpaskan Siegemund, kerana sebelum ini dalam pertemuan terakhir mereka pada 2017 dia kalah kepada lawan berusia 31 tahun itu.

Bagaimanapun, Siegemund pada satu ketika tetap member tentangan kepada Pliskova terutama dengan pelbagai pukulan dan kemahiran di permainan jaring, namun dia tidak mampu untuk menandingi servis serta hayunan deras lawannya itu.

“Saya rasa menentang dia (Siegemund), anda tidak akan rasa hebat kerana dia akan cuba bermain dengan pelbagai cara, termasuk pukulan ‘dropshot’ dan ‘slice’.

“Dia memang mahu saya rasa kesusahan seperti ini namun saya berjaya mengawalnya dan kekal positif,” kata Pliskova.

Pliskova ketinggalan 1-3 pada awal saingan namun dia kembali bangkit, termasuk memenangi lima permainan berturut-turut untuk memenangi set pertama.

Set kedua menyaksikan Siegemund terlepas ‘dropshot’ pada awal saingan dan memberikan Pliskova ruang menggunakan kelebihan servis seterusnya mencatat kejayaan selepas 86 minit di dalam gelanggang.

Selepas ini dia akan berdepan pemenang di antara wakil Russia, Anastasia Pavlyuchenkova atau pemain Amerika Syarikat, Taylor Townsend.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 3:42 PM