TIMBALAN Ketua Polis Negara merangkap Presiden Persatuan Bolasepak PDRM, Datuk Mazlan Mansor (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian diantara Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak PDRM, Datuk Abdul Rahim Jaafar (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Red One Network Sdn Bhd, Mohd Farid Yunus ketika majlis menandatangani kontrak penajaan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


SKUAD PDRM yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim ini berjanji isu tunggakan tidak akan berulang lagi seperti musim lalu.

Pengurus pasukan The Cops, Datuk Khalil Azlan Chik berkata, masalah tunggakan gaji yang membelenggu skuad musim lalu memberi jaminan episod 'memalukan' itu tidak akan berlaku seperti mana di bawah pengurusan terdahulu.

Katanya, untuk musim 2020 ini, PDRM akan berbelanja secara berhemah dengan 80 peratus kekuatan pasukan dalam kalangan anggota beruniform itu manakala 20 peratus diambil dari pemain import dan tempatan.

"Kita dari segi pengurusan (musim ini) dari kalangan pegawai polis sendiri yang kawal pasukan. Kita akan cari penaja yang boleh membantu kita seperti RedONE dan penajaan pakaian dan juga fisioterapi.

"Jadi dari sudut perbelanjaan mesti berhemah berdasarkan sudut kontrak yang ada dan tidak akan ada kontrak sembunyi. Perbelanjaan kita juga mengikut apa g sudah dipersetujui oleh ahli majlis.

"Saya jamin masalah gaji tidak akan berulang. Itu pun sekiranya penaja tak larilah. Saya jamin RedONE sebagai satu penyokong (skuad PDRM) kuat, bukan sekarang saja, malah mereka dah bersama kita lama sebenarnya di peringkat Bukit Aman (kejohanan sukan dalaman polis), Piala Emas Raja-Raja dan sekarang Liga Malaysia.

"Jadi saya yakin dengan kepimpinan Exco PDRM yang ada dan pengurusan yang ada, kita tak akan hadapi masalah tunggakan gaji pada tahun ini," katanya pada majlis menandatangani kontrak penajaan PDRM bersama syarikat telekomunikasi terkenal, RedONE di Pulapol, hari ini.

Sebelum ini, FAM memberi tempoh sehingga 31 Januari kepada tiga pasukan iaitu PDRM, Melaka United dan Kelantan untuk menyelesaikan tunggakan gaji atau persetujuan pembayaran secara berkala terhadap skuad musim lalu.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PDRM, Zulkefly Yahya mengesahkan pihaknya hampir selesai mencapai kata sepakat bersama pemain musim lalu untuk pembayaran tunggakan gaji itu.

"Kita dah hampir selesai berunding dengan pemain musim lalu dan hampir 90 peratus bersetuju dengan pembayaran secara ansuran sehingga habis. Manakala 10 peratus lagi membabitkan pemain import di luar negara yang kita sedang berusaha untuk beruding dengan mereka. Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan sebelum 31 Januari," kata Zulkefly.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 11:22 PM