MOSES dipinjamkan ke Inter Milan. FOTO Reuters
MOSES dipinjamkan ke Inter Milan. FOTO Reuters
Reuters

INTER Milan menandatangani Victor Moses secara pinjaman dari Chelsea dengan pilihan untuk menukar perpindahan secara kekal, umum kelab Serie A itu sekali gus menyaksikan pemain sayap Nigeria itu kembali bekerjasama dengan pengurusnya, Antonio Conte.

Pemain berusia 29 tahun itu di bawah bimbingan Conte ketika pengendali dari Itali itu membimbing Chelsea pada musim 2016 sehingga 2018 dan memenangi kejuaraan Liga Perdana serta Piala FA.

“Berpeluang untuk kembali bekerjasama dengan Conte adalah sesuatu yang sangat saya nantikan.

“Saya sudah bercakap dengannya dan beliau sudah pun menerangkan perancangan kelab kepada saya.

“Saya mahu menjadi sebahagian daripada perancangan itu dan sudah tentu amat gembira berada di sini,” katanya.

Moses yang kembali ke Chelsea selepas kontraknya secara pinjaman dengan kelab Turki, Fenerbahce sudah berakhir, akan menjadi pemain Nigeria kelapan beraksi bersama Inter.

Inter setakat ini menduduki tangga kedua Serie A, empat mata di belakang Juventus yang kini dibimbing bekas pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 10:34 AM