MUKHRIZ gembira dengan permulaan positif Kedah. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Izzali Ismail


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menganggap kejayaan skuad Kedah menewaskan kelab Hong Kong Tai Po FC di pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) Selasa lalu adalah langkah kanan permulaan musim 2020.

“Alhamdulillah dan syukur saya ucapkan bagi merumuskan kejayaaan Kedah menewaskan pasukan Wofoo Tai Po FC Selasa lalu dan permulaan cemerlang di gelanggang keramat Stadium Darul Aman, keputusan menang 5-1 sudah pasti langkah kanan musim 2020.

“Kemenangan pasukan Kedah dan layak beraksi dalam perlawanan ‘Play-Off’ sudah pasti disambut gembira oleh semua pihak terutamanya penyokong pasukan Kedah.

“Buat pasukan Kedah, berjuanglah sejiwa murni dan Pulun Kedah Pulun, InsyaAllah aksi perlawanan Play-Off pada 28 Januari ini kita mampu mencipta kemenangan untuk layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2020. Amin!” katanya melalui ucapan di laman Facebook KFA hari ini.

Mukhriz turut melahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penyokong Kedah diatas sambutan padu membabitkan jumlah kehadiran tinggi di Stadium Darul Aman Selasa lalu.

“Football without fans is nothing’. Pepatah ini amat benar, bola sepak tanpa pemain ke-12 iaitu penyokong pasti memberi kesan kepada kemeriahan sesuatu perlawanan.

“Kehadiran 19,803 orang penyokong Lang Merah antara yang tertinggi dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2020 meniup semangat ‘Pulun Kedah Pulun’ kepada pasukan dan buktinya aksi bermutu diperagakan dengan gol-gol berkualiti tinggi dipamerkan.

“Displin ditunjukkan sepanjang perlawanan cukup mengujakan dan saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih buat penyokong ‘hijaukuning’ yang menjadi tulang belakang pasukan selama ini. Anda buktikan Kedah antara pasukan yang patut digeruni,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Mukhriz turut menghargai persiapan yang dijalankan oleh semua pihak di Kedah yang bertungkus lumus memastikan persiapan kelengkapan prasarana di Stadium Darul Aman dapat disiapkan mengikut syarat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Proses persediaan venue bermula sejak Oktober 2019, bengkel anjuran Kedah FA dan jabatan perlesenan kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendapat penilaian awal sebelum mengorak kepada langkah seterusnya.

“Jawatankuasa Pengelola KFA-AFC ditubuhkan bagi memastikan perjalanan penganjuran kali ini memenuhi syarat piawaian dari pihak AFC bagi sesuatu perlawanan dan hasilnya venue berjaya disediakan pada pertengahan Januari lalu.

“Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan ikhlas, tulus dari saya mewakili pihak Kerajaan Negeri Kedah dan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:13 PM