SATHIANATHAN mempunyai perancangan lain selepas tidak menyertai Piala Meizhou. FOTO Nstp
Firdaus Hashim


B SATHIANATHAN tidak cemas dengan pembatalan saat akhir pemergian anak buahnya ke Meizhou, China bagi menyertai kejohanan jemputan Piala Meizhou Hakka yang bermula semalam hingga 29 Januari ini.

Menurut pengendali Selangor itu, pembatalan berkenaan diputuskan oleh pihak pengurusan susulan penularan wabak Virus Corona di China yang sudah membunuh beberapa orang setakat ini.

Meskipun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan segala-galanya kepada pihak pengurusan, beliau mengakui perancangan pasukan tidak akan terganggu dengan keputusan itu.

Sebaliknya, beliau sudah memiliki beberapa perancangan lain bagi memantapkan persiapan pasukan menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirainya pada 28 Februari ini membabitkan perebutan Piala Sumbangsih antara JDT dan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim.

Skuad Red Giants pula dijadual berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur sehari selepas aksi pembukaan Liga-M itu.

“Kita ada rancang pelan lain. Saya tak risau (batal ke China) sebab kita baru saja harungi Piala Cabaran Asia 2020 yang juga membabitkan kelab-kelab Asia Tenggara.

“Kita sedang dapatkan beberapa perlawanan lain dan apa-apapun pihak pengurusan akan maklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), badan induk itu mengesahkan terpaksa membatalkan hasrat untuk menyertai Piala Meizhou Hakka di China.

Selepas meneliti pelbagai aspek dan mengambil kira nasihat daripada pelbagai sumber, pengurusan FAS membuat keputusan untuk tidak menyertai kejohanan pramusim di China yang dijadualkan berlangsung pada 24-28 Januari 2019 ini.

“Wabak coronavirus adalah punca utama keputusan ini diambil bagi mengutamakan keselamatan para pemain dan pegawai pasukan serta mengelakkan daripada virus itu tersebar kepada keluarga serta seluruh rakyat di Malaysia.

FAS memohon maaf kepada penganjur kejohanan ini iaitu Meizhou Hakka FC, dan akan berusaha dengan sedaya upaya kami untuk menyelesaikan perkara ini dengan sebaik mungkin,” kata kenyataan rasmi itu semalam.

Wabak yang turut dikenali sebagai 2019-nCoV ini mula masuk ke negara-negara Asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Taiwan.

Selain Selangor, dua lagi pasukan Chonburi FC dari Liga Thailand, kelab Korea Selatan, Sangju Sangmu dan pasukan tuan rumah Meizhou Hakka sepatutnya beraksi di kejohanan itu.

Ahad lalu, Selangor menamatkan kedudukan selaku naib juara Piala Cabaran Asia 2020 dibelakang kelab Thailand, Bangkok United selepas tewas penentuan penalti 2-4 selepas kedua-kedua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar di Stadium Shah Alam.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:44 PM