AZRUL Nizam Muhammad (kanan) dalam aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Pakistan semalam. FOTO Ihsan FELDA United FC


DI SEBALIK tewas 0-2 kepada skuad kebangsaan Pakistan pada aksi persahabatan di Stadium Mini USIM semalam, Nidzam Jamil percaya FELDA United FC berada pada landasan terbaik bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, ini kerana beliau menyenaraikan pemain muda termasuk mereka yang kali pertama bermain dalam Liga M sebagai pendedahan.

“Kita memberi peluang kepada semua pemain yang tidak mempunyai minit perlawanan yang banyak sejak mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Setiap pemain berbeza dari segi prestasi kerana ada dalam kalangan mereka menunjukkan peningkatan permainan singkat dan cepat.

“Bagi saya ia bukan proses yang mudah kerana ada pemain muda yang memerlukan tempoh antara empat hingga satu tahun untuk menyesuaikan diri.

“Mereka juga bermula dengan bermain dalam saingan Liga Piala Presiden, Piala Belia dan akademi sebelum ke Liga M,” katanya.

Mengulas kekalahan kepada Pakistan, beliau mengakui tidak gembira dengan keputusan itu tetapi akur kelab itu berdepan dengan pasukan yang bagus.

Namun, katanya, keputusan perlawanan bukan keutamaan sebaliknya ia lebih kepada pendedahan buat pemain muda merasai bermain dengan pasukan luar negara.

“Memang nampak perbezaan antara pemain utama dan simpanan tetapi masih ada ruang untuk memperbaiki segala kekurangan dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Pada aksi persahabatan itu, Nidzam merehatkan pemain utama termasuk lima import bagi memberi peluang dan pendedahan kepada pemain muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 10:36 PM