GAMBAR HIASAN
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) disaran supaya berhubung rapat dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan maklumat terkini tentang penularan wabak Koronavirus di China yang sudah mengorbankan beberapa orang setakat ini.

Meskipun, aksi kelayakan pusingan ketiga Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan kelab Seoul FC dan Kedah hanya dilangsungkan di Korea Selatan pada Selasa ini, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan tahap keselamatan pasukan serta penyokong skuad Helang Merah terjamin daripada dijangkiti penyakit itu.

Difahamkan, virus berkenaan mula tersebar di wilayah Wuhan, China sejak awal bulan ini dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) wabak berkenaan kini sudah merebak ke beberapa negara lain seperti Thailand, Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Malah, pihak berkuasa China turut mencatatkan sejumlah 571 kes dengan 17 kematian direkodkan sehingga Rabu lalu.

Saranan kepada KFA itu diluahkan bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yang mahu pemergian skuad Hijau Kuning tanpa diganggu kebimbangan tentang wabak itu.

“Saya percaya KFA akan mengambil langkah sewajarnya dengan berhubung AFC untuk mendapatkan apa-apa maklumat.

“Kalau betul benda itu (Koronavirus) ada di kawasan Seoul saya pasti mereka (AFC) akan tangguhkan dan jika mereka lihat tak ada apa-apa berlaku saya rasa bukan suatu masalah (perlawanan diteruskan).

“Tapi KFA juga perlu melihat benda itu dan ‘followup’ dengan AFC sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya lagi, pasukan perubatan KFA perlu sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan termasuk menyediakan apa jua vaksin pencegahan bagi memastikan ia tidak menjangkiti pemain.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang skuad kendalian Aidil Sharin Sahak nanti, Akmal percaya Kedah mampu membuat kejutan ke atas kelab divisyen satu Korea Selatan itu seandainya semangat sama diulangi ketika membenam cabaran kelab Hong Kong, Tai Po FC 5-1 di pusingan kedua sebelum ini.

“Atas kertas memang nampak sukar sebab kelab Korea itu bukan calang pasukan yang beraksi di liga terbaik Asia. Tapi saya percaya sekiranya semangat sama dipamerkan ketika menang ke atas Tai Po FC, tak mustahil kita boleh menang.

“Ditambah pula sentuhan Aidil yang bijak merencana taktikal mengikut kekuatan pasukan lawan, saya rasa kita noleh raih keputusan positif nanti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 6:01 AM