Valentino Lazaro. FOTO File Reuters
AFP

NEWCASTLE menandatangani pemain sayap Austria, Valentino Lazaro daripada Inter Milan dengan perjanjian pinjaman sehingga berakhir musim ini.

Bos Magpies, Steve Bruce mengambil Lazaro dalam usaha pasukan Liga Perdana memantapkan barisan serangan.

Pemain berusia 23 tahun itu tidak dapat melakukan penampilan pertama pada saingan pusingan keempat Piala FA berdepan Oxford malam ini berikutan laporan tertunda dalam proses kertas kerja.

Sebaliknya, penampilan pertama Lazaro mungkin pada perlawanan Liga Perdana menentang Norwich minggu depan.

“Saya hanya mendengar yang bagus mengenai kelab itu. Saya berbual mesra dengan jurulatih, jadi saya rasa gembira untuk berada di sini. Perbincangan itu meyakinkan saya ini adalah kelab yang tepat buat saya untuk beraksi,” kata Lazaro menerusi laman web Newcastle.

Biarpun, Lazaro gagal menonjol di Inter selepas tiba daripada Hertha Berlin tahun lalu, Bruce mengakui gembira dapat menggunakan khidmat pemain itu sekali gus menolak minat daripada RB Leipzig.

“Valentino adalah pemain berkualiti yang akan menambah pilihan di barisan serangan kami di padang, di mana kami perlu mempamerkan peningkatan.

“Dia boleh beraksi di beberapa posisi, namun dia adalah pemain sayap sebenar dengan hantaran yang baik,” katanya.

“Kami berusaha keras untuk mendapatkannya dengan mendahului kelab lain, jadi saya berbangga dengan apa yang kami sudah lakukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 9:48 AM