Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Presiden Persatuan Bolasepak PDRM, Datuk Mazlan Mansor (kiri) dan Mohd Farid ketika majlis menandatangani kontrak penajaan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


ISU tunggakan gaji membabitkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berulang lagi sepanjang saingan musim ini apabila skuad The Cops bakal meraih penajaan jutaan ringgit daripada syarikat telekomunikasi RedONE Sdn Bhd.

Walaupun tidak dinyatakan jumlah sebenar tajaan berkenaan, namun Ketua Pegawai Eksekutif RedONE, Mohd Farid Yunus mengakui tajaan berkenaan mencecah tujuh angka.

"Biasanya kita tak huraikan (nyatakan jumlah tajaan kepada umum) tapi dalam tujuh angka lah," kata Farid pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Kontrak Penajaan antara Persatuan Bolasepak PDRM dengan Red One di Pulapol, Kuala Lumpur.

Malah, beliau sempat bergurau ketika menjawab soalan wartawan mengenai tunggakan gaji pemain PDRM musim lalu yang disahkan berjumlah RM1 juta.

"Esok juga pergi pejabat terus sain (tajaan)," katanya.

Sebelum ini, PDRM diberi kata dua oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan tunggakan musim lalu sekiranya tidak mahu menjadi mangsa pemotongan mata.

Badan induk bola sepak tempatan itu memberi tempoh sehingga 31 Januari ini kepada PDRM untuk menyelesaikan tunggakan terbabit atau sekurang-kurangnya mencapai kata sepakat bersama pemain untuk dibayar secara ansuran sehingga habis.

Selain PDRM, dua lagi pasukan turut berdepan risiko pemotongan mata iaitu Melaka United dan Kelantan.

Ditanya mengapa memilih PDRM, Farid mengakui hubungan erat antara kedua-dua pihak disamping penyediaan bajet yang terhad oleh pengurusan pasukan menyaksikan RedONE tampil menjalinkan kerja sama.

“Sebelum ini kita pernah menaja Bukit Aman dalam kejohanan dalaman mereka dan juga dalam Piala Emas Raja-Raja.

"Sebenarnya kami sudah komited kepada Terengganu dan bajet untuk tajaan bola sepak ini sudah habis, tetapi oleh kerana kita kenal PDRM dan kita berjaya jumpa bajet untuk mereka. Kadang-kadang tajaan ini tunggu masa yang sesuai dan orang yang tepat," katanya.

PDRM yang dikendalikan oleh jurulatih Mohd Ishak Kunju Mohamed diletakkan sasaran untuk berada pada lima kelompok teratas Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 12:52 PM