Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ke cabaran final Terbuka Thailand. FOTO NSTP
Oleh Aida Adilah Mat


BEREGU profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi jadi wakil tunggul negara mara ke perlawanan akhir Masters Thailand apabila menewaskan lawan dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan straight set.

Mereka membuktikan bahawa penyenaraian mereka ke Kejohanan Asia oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah tepat apabila mudah menundukkan lawan 21-17,21-14.

Menanti mereka di pentas akhir pasangan dari China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng yang menewaskan beregu negara yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong 15-21,11-21.

Sementara itu, impian dua beregu campuran negara untuk mengikuti jejak langkah Yew Sin-Ee Yi tidak kesampaian apabila tewas di tangan lawan masing-masing.

Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas kepada beregu England, Marcus Ellis-Lauren Smith 21-19, 19-21, 22-24.

Manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terpaksa akur tunduk kepada pasangan, Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja, 19-21, 23-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 7:29 PM