AIDIL (dua dari kanan) bergambar bersama barisan kejurulatihan Kedah di Seoul. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)
Izzali Ismail


KEDAH hanya memiliki tempoh dua hari di Seoul bagi melakukan persiapan untuk pasukan serta menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk sebelum bermulanya aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang FC Seoul di Stadium Seoul World Cup, Selasa ini.

Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak berkata, tempoh dua hari itu harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau dan semua pemain sebelum aksi sebenar.

“Memang tempoh agak singkat selepas di tolak perjalanan dari Malaysia pada Sabtu di mana kami tiba di hotel penginapan di Seoul di sebelah malam dan bermula hari ini hingga Isnin kami harus melalui proses menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.

“Selain merangka percaturan untuk perlawanan, saya juga berharap pemain dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sejuk secepat mungkin kerana inilah faktor yang penting sebelum perlawanan."

“Kami sudah mempersiapkan diri dengan pakaian sejuk dan peralatan yang diperlukan untuk membantu dalam proses penyesuaian,” katanya.

Aidil turut mengakui barisan pemainnya akan berdepan cabaran besar apabila berdepan skuad FC Seoul yang memiliki reputasi hebat dalam saingan ACL ini.

“Kami hadir ke Korea sebagai skuad bukan pilihan tetapi kami ada keazaman yang tinggi untuk membuktikan sesuatu.

“Sebagai persediaan, saya akan meneliti kelebihan yang ada pada pihak lawan menerusi ulang tayang video perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 2:38 PM