KRISIS antara Shukor dan bekas majikannya, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) selesai selepas dia menarik balik afidavit. FOTO NSTP
KRISIS antara Shukor dan bekas majikannya, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) selesai selepas dia menarik balik afidavit. FOTO NSTP
Syazwan Msar


BEKAS pemain Melaka Shukor Adan menarik balik afidavit berkaitan tuntutan gaji terhadap bekas majikannya iaitu Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA).

Perkara terbabit disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas pemain berkenaan sudah mendapat bayaran tunggakan gajinya sebelum ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan penarikan semula afidavit yang dibuat Shukor itu menunjukkan perkembangan positif proses penyelesaian isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Kita mengucapkan terima kasih kepada MUSA dan Shukor kerana berjaya menyelesaikan isu ini dengan baik dan sememangnya itu yang kita mahukan.

“Dalam surat penarikan yang dikemukakan Shukor juga, dia berterima kasih kepada FAM. Kami di pihak FAM hanya membantu semua pihak sama ada pasukan atau pemain.

“Namun, berdasarkan perkara ini sekurang-kurangnya langkah atau pendekatan yang diambil FAM dalam mencari penyelesaian (isu tunggakan gaji) nampak positif,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Pada 6 Januari lalu, Shukor mengemukakan afidavit kepada FAM berkaitan tuntutan tunggakan gajinya bersama pasukan Melaka United.

MUSA bagaimanapun perlu memastikan segala isu tunggakan lain dapat diselesaikan sebelum Jumaat ini sekiranya tidak mahu berdepan pemotongan tiga mata oleh FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 7:04 PM