YEW Sin-Ee Yi berjaya bangkit selepas tumpas di set pertama untuk menumpaskan pasangan China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng 18-21, 21-17, 21-17. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


TIDAK diletak sebarang harapan, beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melakarkan kejutan meraih kejuaraan sulung mereka di Masters Thailand sejak bergelar pemain profesional.

Yew Sin-Ee Yi menewaskan beregu China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng dalam pertarungan tiga set yang berkesudahan 18-21, 21-17, 21-17.

Dalam perlawanan yang cukup mendebarkan itu, kawalan gelanggang yang sempurna menjadi kunci kemenangan skuad negara.

Semangat juang yang tinggi berjaya ditunjukkan oleh kedua-dua pemain itu biarpun di set ketiga ketinggalan di pertengahan perlawanan.

Yew Sin-Ee Yi memperkemaskan rentak permainan dengan banyak mengajak lawan bermain di jaring berjaya mengikat kedudukan 15 sama.

Permainan agresif yang dipamerkan berbaloi apabila mereka mula mendahului lawan mata demi mata sehingga berjaya meraih kemenangan 21-17 di set penentuan.

Ia disifatkan kemenangan yang cukup bermakna buat mereka yang dilihat sebagai hadiah istimewa sempena Tahun Baru Cina.

Pastinya, kejayaan itu mampu menjadi pembakar semangat menjadi bekalan untuk membantu skuad negara di Kejohanan Berpasukan Asia di Manila bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 8:16 PM