DUA tandukan Jesus (dua dari kanan) berjaya menghasilkan gol buat City yang menumpaskan Fulham 4-0 di pusingan keempat Piala FA. FOTO Reuters
AFP

PENYANDANG juara, Manchester City mara ke pusingan kelima Piala FA selepas membelasah Fulham 4-0 yang beraksi dengan 10 pemain di Etihad sebentar tadi.

Kad merah yang diraih Tim Ream selepas menjatuhkan Gabriel Jesus di dalam petak penalti pada minit keenam ternyata memberi kesan kepada pasukan Liga Kejuaraan itu.

Ilkay Gundogan menyempurnakan penalti sebelum Bernardo Silva menambah jaringan kedua hasil penyudah menarik.

Pasukan pelawat berjaya bertahann hampir sejam tapi dua tandukan Jesus dalam tempoh tiga minit mengesahkan kemenangan City.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola sekarang ini sudah mencatat kemenagan piala domestik sebanyak 17 kali berturut-turut.

Pengendali dari Sepanyol itu terpaksa bergantung harap kepada kejayaan piala musim ini selepas dilihat sukar untuk meraih kejayaan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila ketinggalan 16 mata dengan Liverpool.

“Pada satu ketika saya merasakan perlawanan ini akan menjadi sukar buat kami. Mereka adalah pasukan yang mempunyai keyakinan tapi semuanya menjadi berbeza selepas insiden kad merah.

“Kami memang ada keinginan dan akan berjuang untuk menang dalam mana-mana kejohanan. Selepas ini kami berdepan Manchester United dan berpeluang untuk ke final, itulah sasaran kami,” kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 11:33 PM