STADIUM Shah Alam. FOTO AGENSI
Oleh Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) melakukan kejutan musim baharu apabila bakal mengenakan harga tiket ‘kasta’ berdasarkan taraf pasukan lawan.

Harga tiket terbuka di Stadium Shah Alam berdepan lima pasukan utama Liga Super iaitu Pahang, Kedah, Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak dan Terengganu ditetapkan RM20 untuk musim 2020, manakala tiket melawan Felda United, PDRM, Melaka, Sabah, PJ City dan UiTM lebih murah iaitu RM15.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon bagaimanapun mempertahankan keputusan terbabit dan menganggap ia perkara biasa seperti ditetapkan beberapa pasukan liga di luar negara.

Beliau berkata, FAS mengambil langkah awal menetapkan harga tiket membabitkan perlawanan tumpuan bagi mengelak salah faham apabila berbuat demikian pada masa akan datang sekali gus menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan peminat.

“Menetapkan harga tiket lebih mahal membabitkan perlawanan lima pasukan terbabit adalah perkara biasa dan ia juga dilakukan beberapa kelab utama luar negara.

“Tindakan ini tidak membabitkan isu ‘kasta’ atau mahu mengaut keuntungan dan kami mengumumkan lebih awal harga tiket terbabit supaya penyokong sedia maklum perkara terbabit, sekali gus tidak timbul isu harga mahal,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Harga tiket terbuka pada musim lalu ialah RM15.

Mengulas lanjut, Johan berkata, harga tiket di Stadium Shah Alam ditentukan FAS, namun kenaikannya tidaklah membebankan orang ramai.

“Harga tiket berkenaan ditentukan menerusi persetujuan bersama dan ia juga menggalakkan penyokong untuk hadir ke stadium terutama membabitkan perlawanan kurang tumpuan,” katanya.

Perlawanan suku akhir dan separuh akhir untuk Piala FA serta Piala Malaysia juga akan dikenakan harga tiket sebanyak RM20.

Harga tiket kanak-kanak (6-12 tahun) untuk kedua-dua perlawanan Tier 1 dan Tier 2 pada musim 2020 pula dikekalkan pada harga RM5.

Penyokong Red Giants disarankan untuk mendapatkan pas bermusim 2020 yang bernilai serendah RM109 untuk menikmati penijmatan lebih banyak pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 6:20 AM