REAKSI Mohamed Salah ketika perlawanan bertemu Shrewsbury. FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL mensia-siakan kelebihan dua jaringan untuk sekadar seri 2-2 dengan pasukan Liga Satu, Shrewsbury sekali gus mengheret ke perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA.

Jurgen Klopp menunjukkan bahawa fokus utamanya adalah untuk memenangi Liga Perdana buat kali pertama selepas 30 tahun apabila melakukan 11 pertukaran berbanding ketika mencatatkan kemenangan ke atas Wolves, Khamis lalu.

Klopp mengesahkan beliau akan membariskan pemain lebih muda untuk aksi ulangan kerana barisan pemain utamanya sedang diberi tempoh rehat.

“Saya sudah beritahu kepada pemain sejak dua minggu lalu bahawa kami akan berehat seketika. Bermakna barisan pemain utama tidak akan diturunkan,” kata Klopp yang bercadang untuk memberikan tugas kepada jurulatih bawah 23 tahun, Neil Critchley membimbing pasukan pada aksi ulangan itu.

“Barisan pemain muda akan beraksi pada perlawanan itu nanti,” tambahnya.

Pemain berusia 18 tahun, Curtis Jones meledak gol pertama untuk Liverpool pada minit ke-15 sebelum Donald Love menjaringkan gol ke gawang sendiri seminit selepas babak kedua.

Namun Shrewsbury tidak berputus asa, sebaliknya Jason Cummings berjaya menyempurnakan sepakan penalti minit ke-65.

Cummings kemudian menambah gol kedua 15 minit sebelum tamat perlawanan.

“Ia umpama mimpi jadi kenyataan bertemu antara pasukan terbaik di dunia. Beraksi di Anfield sangat menakjubkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 8:42 AM