KPAH Sherman (dua dari kanan) tetap akan bersama pasukan bertemu FC Seoul. FOTO NSTP
Noorazura Abdul Rahman


PENYERANG Kedah, Kpah Sherman tetap akan menyertai Lang Merah ke Korea Selatan bagi menghadapi perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bertemu FC Seoul esok selepas masalah visanya dapat diselesaikan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, penyerang import dari Liberia itu dijangka tiba lewat sedikit kerana menaiki penerbangan berlainan daripada pasukan.

Bagaimanpun, pihaknya menyerahkan kepada Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak, untuk menyenaraikan pemain itu dalam kesebelasan utama Kedah atau sebaliknya.

“Kami akui memang ada isu visa beliau sebelum ini namun ia sudah selesai. Kpah akan ke sana dan terpulang kepada Aidil Sharin untuk membenarkan beliau bermain atau tidak.

“Cuma kami risau penerbangannya mengambil masa sedikit, jika dia dapat bermain, Alhamdulilah,” katanya ketika ditemui selepas program santai sarapan pagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan di sini, hari ini.

Mohd Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, berkata demikian ketika diminta mengulas kegagalan Kpah dan Khairul Helmi Johari menyertai pasukan itu berlepas ke Korea Selatan.

Katanya, beliau sangat yakin dengan keupayaan pasukan Kedah termasuk pemain simpanan yang mempunyai kelincahan yang hampir sama dengan pemain utama.

“Mereka (pemain gantian) mempunyai tahap hampir sama dengan pemain utama. Jadi saya percaya dan yakin bahawa kesebelasan utama ini akan mencatatkan kemenangan di Korea Selatan.

“Sebagai pemain profesional, perubahan cuaca tidak boleh dijadikan alasan dan mereka perlu bersiap sedia kepada segala kemungkinan tidak kira tempat, padang dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 1:27 PM