Mohamad Norza berpandukan kepada dasar dan polisi kerajaan. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menasihatkan persatuan sukan supaya tidak perlu membuat sebarang perancangan baik mengadakan latihan mahupun mengambil bahagian di mana-mana kejohanan di China.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara paling utama sekarang adalah berpandukan kepada dasar dan polisi kerajaan berikutan penyebaran penyakit Koronavirus.

"Bagi saya apa pun dasar yang kita nak buat mesti berpandukan kepada dasar dan polisi kerajaan, yang datangnya daripada kabinet atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Norza menasihatkan agar persatuan sukan buat masa ini tidak perlu untuk membuat perancangan ke negara berkenaan.

"Kita kena lihat apakah kesan daripada Koronavirus ini terhadap negara China dan serantau. Bagi yang sudah berada di sana, biar persatuan membuat keputusan (sama ada panggil pulang ke tanah air atau tidak)," katanya yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Setakat ini, skuad terjun negara sedang mengadakan latihan pusat di China sebagai persiapan untuk menyertai beberapa kejohanan dan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebelum ini pasukan Liga Super, Selangor mengambil keputusan untuk tidak menyertai saingan pramusim di Piala Piala Meizhou Hakka yang bermula Jumaat lalu.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) juga sejak dari awal tidak menghantar atlet menyertai Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia yang sepatutnya berlangsung 12 hingga 13 Februari ini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 7:02 PM