Dr Johan Kamal. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) sanggup bayar pampasan yang bakal dikenakan oleh penganjur pertandingan Piala Meizhou Hakka demi memastikan pemain dan barisan kejurulatihan tidak terdedah kepada risiko wabak koronavirus yang semakin berleluasa di China.

Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon berkata, walaupun jumlah sebenar pampasan masih belum diputuskan namun pihaknya meletakkan jumlah maksimum yang mungkin dibayar oleh persatuan bolasepak negeri itu nanti jika diminta berbuat demikian.

Beliau berkata, jumlah maksimum bayaran pampasan berjumlah RM300,000 sememangnya tinggi namun ia ‘harga’ yang perlu dibayar bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku ketika menyertai kejohanan terbabit.

“Kami mungkin akan berbincang dengan pihak penganjur bagi mengetahui jumlah sebenar pampasan yang perlu dibayar nanti.

“Dalam situasi seperti ini (penularan wabak), kesihatan pemain dan barisan kejurulatihan amat penting dan untuk itu lebih baik menarik diri sebagai langkah berjaga-jaga daripada terkena jangkitan penyakit terbabit,” katanya. Akibat menarik diri pada saat akhir dari pertandingan Piala Meizhou Hakka, FAS perlu membayar pampasan berjumlah RM300,000 kepada pihak penganjur.

Pertandingan diadakan di China itu dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 24 Januari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 9:02 PM