Anuar Manan. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


BEKAS raja pecut negara, Anuar Manan dikatakan dalam usaha untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan dan bakal kembali ke perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini.

Menurut jurulatih skuad lebuhraya negara, Yusof Nasir ia bukan satu yang mustahil untuk mereka membariskan pelumba pertama negara yang pernah muncul juara peringkat dan menggondol jersi hijau (Raja Pecut) LTdL.

"Sekarang kita masih lagi memantau prestasinya ketika di dalam latihan, ini kerana dia perlu bersaing dengan dua lagi pelumba pecut untuk mengisi satu slot bagi LTdL tahun ini," kata Yusof ketika dihubungi Arena Metro. Antara pelumba yang bakal menjadi pencabar buat Anuar ialah Elmi Jumari dan Izzat Helmi Abdul Hali.

"Tahun lalu memang kita tidak membawa pakar pecut, tapi disebabkan edisi kali ini banyak laluan landai, kita mengambil keputusan untuk mencari seorang pelumba bagi slot berkenaan," katanya.

Skuad kebangsaan juga mampu untuk mengharapkan kepada Sofian Nabil Omar Bakri bagi melaksanakan tanggungjawab di zon pecutan mahupun ketika menuju garisan penamat jika menyenaraikan pelumba berkenaan tahun ini.

"Buat masa sekarang kita masih lagi menjalani latihan dengan membabitkan lapan hingga 10 pelumba sebelum memilih enam yang terbaik untuk mewakili skuad negara.

"Pengumuman senarai akhir pelumba mungkin akan dilakukan dalam minggu ini (Khamis atau Jumaat) tapi kita boleh menghantar dulu senarai nama sebelum melakukan penukaran di saat akhir," kata Yusof.

LTdL 2020 akan berlangsung 6 hingga 15 Februari ini dengan skuad kebangsaan meletakkan sasaran untuk mengekalkan kedudukan kedua terbaik Asia seperti tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 9:50 PM