Jurulatih Belgium, Roberto Martinez (tengah) meraikan kemenangan ketika berdepan Cyprus dalam saingan kelayakan Euro 2020. FOTO File Reuters
Reuters

BELGIUM akan bermain empat perlawanan persahabatan sebagai persediaan Kejohanan Eropah tahun ini, dengan dua perlawanan pada Mac dan dua menjelang kejohanan berkenaan kata jurulatihnya, Roberto Martinez.

“Kami akan berdepan dua lawan Eropah pada Mac,” katanya tanpa menyebutkan nama pasukan terbabit.

Belgium yang menamatkan saingan Piala Dunia di Russia yang lalu di tempat ketiga dan berada di ranking teratas Fifa adalah salah satu pasukan pilihan kejohanan.

“Ia adalah pilihan yang tepat kerana lawan mempunyai corak permainan tersendiri. Besar kemungkinan perlawanan ini akan berlangsung di Qatar, namun tiada apa-apa perjanjian lagi. Kita akan menetapkan perkara ini dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada pemberita.

“Perlawanan pada Mac nanti adalah penting. Kami akan menentukan kekuatan pemain dan bagaimana kami mempersiapkan pemain secara individu.

“Beberapa pemain sudahpun beraksi dengan kudrat mereka lebih daripada 3,000 minit musim ini, selain daripada itu mereka perlu latihan individu. Tapi kami mahu keadaan yang panas supaya memperoleh lebih banyak vitamin D.

“Pada Jun, kami akan beraksi dua lagi perlawanan, termasuk satu di Brussels untuk memberi peluang kepada peminat untuk memberi sokongan kepada pasukan.

“Kami tidak akan beraksi di Belgium sepanjang Euro, jadi kami mahu merasai pengalaman keserasian unik sekali lagi sebelum beraksi di kejohanan terbabit. Jadi kami akan memastikan perlawanan ini, di Stadium King Baudouin istimewa,” tambahnya.

Belgium berdepan Russia, Finland dan Denmark dalam Kumpulan B pada Jun dengan dua perlawanan berlangsung di St Petersburg disusuli berdepan Denmarik di Copenhagen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 9:56 PM