FOTO HIASAN.
Syazwan Msar


PERSATUAN dan kelab bola sepak mempunyai hak menentukan harga tiket di laman sendiri mengikut budi bicara masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya hanya menentukan harga tiket membabitkan perlawanan akhir Piala Malaysia dan FA saja, manakala saingan liga ditetapkan oleh tuan rumah masing-masing.

Beliau berkata, MFL tidak mencampuri urusan berkenaan walaupun ia dikatakan mahal atau sebaliknya kerana pihaknya hanya menguruskan liga bagi memastikan kelancaran perlawanan tanpa sebarang masalah.

“Harga tiket bagi perlawanan liga ditentukan oleh persatuan dan kelab itu sendiri dan kita tid ak mencampuri urusan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Arena Metro semalam melaporkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menetapkan harga tiket terbuka sebanyak RM20 bagi perlawanan Selangor berdepan pasukan handalan Liga Super iaitu Pahang, Kedah, Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak dan Terengganu di Stadium Shah Alam.

Harga tiket terbuka bagi aksi berdepan Felda United, PDRM, Melaka, Sabah, PJ City dan UiTM lebih murah iaitu RM15.

Penetapan harga mengikut ‘kasta’ itu mendapat kritikan segelintir peminat Merah Kuning.

Sementara itu, FAS sanggup membayar pampasan yang bakal dikenakan penganjur pertandingan Piala Meizhou Hakka demi memastikan pemain dan barisan kejurulatihan tidak terdedah kepada risiko wabak koronavirus baharu yang semakin berleluasa di China.

Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, walaupun jumlah sebenar pampasan masih belum diputuskan, pihaknya bersedia dengan jumlah maksimum RM300,000 yang mungkin terpaksa dibayar jika diminta berbuat demikian.

“Kami mungkin akan berbincang dengan pihak penganjur bagi mengetahui jumlah sebenar pampasan yang perlu dibayar nanti.

“Dalam situasi seperti ini (penularan wabak), kesihatan pemain dan barisan kejurulatihan amat penting dan untuk itu lebih baik menarik diri sebagai langkah berjaga-jaga daripada terkena jangkitan penyakit terbabit,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:20 AM