NADAL meraikan kemenangannya ketika menewaskan Kyrgios. FOTO AFP
AFP

RAFAEL Nadal tidak memandang rendah Dominic Thiem yang akan ditemui di suku akhir Terbuka Australia meskipun mempunyai rekod 100 peratus di saingan Grand Slam.

Nadal dipaksa bekerja keras buat kali pertama di kejohanan itu sebelum dapat menewaskan sensasi Australia, Nick Kyrgios di pusingan keempat.

“Saya rasa berada di landasan yang betul. Setiap hari saya dapat beraksi dengan baik,” kata Nadal yang mensasarkan untuk beraksi di separuh akhir Terbuka Australia buat kali ketujuh.

Nadal dan Thiem sudah bertemu sebanyak 13 kali dengan Nadal mengungguli rekod pertemuan 9-4 tetapi menang kesemua lima pertemuan di Grand Slam.

Thiem adalah lawan yang ditewaskannya pada dua final Terbuka Perancis.

“Perlawanan yang sukar. Dia beraksi dengan baik dan saya menyaksikannya bertemu Gael Monfils. Dia mempamer permainan tahap tertinggi.

“Kami mengenali antara satu sama lain. Dia adalah pemain yang amat saya gemari.

“Ia akan menjadi perlawanan paling sukar dan saya perlu berada pada tahap terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 11:57 AM