SYAZRUL dikenakan hukuman mandatori empat tahun.
Aida Adilah Mat


“APA yang berlaku ini hanya ujian dan bukan pengakhiran dalam kariernya (Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli).” Itu nasihat jurulatih kepada Syazrul, Mohd Poad Md Kassim.

Poad ketika dihubungi berkata, atlet itu kini masih menjalani latihan seperti biasa di bawah bimbingannya.

“Jiwanya masih ada untuk olahraga. Sejak KOM memanggil Syazrul untuk perbicaraan, saya sudah nasihatkan kepadanya agar menerima keputusan dan tabah dengan apa yang berlaku. “Mungkin ada hikmahnya dan kerana ini satu ujian daripada Allah.

Saya juga nasihatkan kepadanya untuk tidak putus asa dan teruskan perjuangan kerana dia masih muda. Semoga apa yang terjadi ini menjadi satu pengajaran kepada dia dan juga atlet lain untuk lebih berhati-hati,” katanya.

Terdahulu, Syazrul dijatuhkan hukuman penggantungan mandatori empat tahun kerana didapati positif doping di Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada 2018.

Sampel A air kencing Syazrul dikesan mengandungi steroid jenis methasterone dan oxymethalone, namun pelari berusia 18 tahun itu enggan melakukan ujian sampel B. Penggantungan itu bermula pada 13 Disember lalu dan akan berakhir pada penghujung 2023. Perkara itu dimaklumkan Presiden KOM, Datuk SM Muthu selepas dia tidak dapat membuktikan faktor luaran penyebab utama dia mengambil bahan itu malah mengakui bahawa sudah mengambilnya sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini nama Poad turut dikaitkan dengan kes membabitkan Syazrul apabila dikatakan membekalkan bahan berkenaan namun KOM mengesahkan beliau tidak terbabit dalam kes itu dan dibenarkan meneruskan tugas seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 9:40 PM