ERIKSEN bersama Pengerusi Inter Milan, Steven Zhang. FOTO Agensi
Reuters

INTER Milan menandatangani perancang Denmark, Christian Eriksen dari Tottenham Hotspur dengan kontrak 4-1/2 tahun selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan perpindahan pemain tengah itu, umum kedua-dua pihak hari ini.

Eriksen yang tamat kontrak di Spurs pada Jun depan mengalami kemerosotan prestasi sebelum menjadi salah seorang pemain paling berprofil tinggi berpindah setakat Januari ini.

Tidak dinyatakan butiran nilai perjanjian tetapi laporan menyatakan ia membabitkan 20 juta euro (RM89.91 juta).

Eriksen menjaringkan 51 gol dan 62 bantuan jaringan di Liga Perdana sejak menyertai kelab London itu dari Ajax Amsterdam pada 2013 dan membantu Spurs mara ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama tahun lalu.

Bagaimanapun, prestasi hambarnya musim ini dan kerap menjadi pemain gantian menjadikan dia semakin kurang popular dalam kalangan penyokong.

Inter kendalian Antonio Conte kini menduduki tangga kedua di Serie A, tiga mata di belakang pendahulu, Juventus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 10:22 PM