SAFAWI cemerlang bersama Harimau Malaya dan Harimau Selatan.
Syazwan Msar


DIIKTIRAF sebaris dengan pemain muda ternama dunia menjadi pemangkin kepada tonggak skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid untuk terus mengekalkan momentum meningkatkan prestasi demi kelab dan negara pada masa depan.

Safawi berkata, pengiktirafan oleh laman sosial bola sepak antarabangsa itu bukannya medium untuk bermegah atau sombong, namun sebagai peringatan supaya terus berusaha mencipta lebih banyak kejayaan.

Dia yang kini mengikuti siri jelajah pramusim di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, tumpuannya ketika ini memastikan tidak hanyut dengan pengiktirafan itu dan kekal fokus terhadap latihan diberikan.

“Pengiktirafan itu agak mengejutkan kerana sebaris dengan pemain terkenal daripada kelab ternama dunia.

MBAPPE bersama trofi Piala Dunia 2018. FOTO Agensi

“Namun, saya perlu mengingatkan diri supaya tidak sombong. Apapun, pengiktirafan itu turut melonjak nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Dia mengulas penyenaraiannya sebagai bintang masa depan atau ‘future wonderkid’ oleh laman sosial bola sepak antarabangsa, Tekkers berdasarkan kriteria dan kebolehan seseorang pemain terutama ketika beraksi bersama kelab serta pasukan kebangsaan.

Turut disenaraikan, penyerang Perancis/ PSG, Kylian Mbappe; pemain tengah Belanda/ Barcelona, Frenkie de Jong; bek kanan England/ Liverpool, Alexander Arnold dan tonggak tengah Amerika Syarikat/ Chelsea, Christian Pulisic.

Selain itu, pemain Indonesia yang berkelana di bumi Poland, Egy Maulana Vikri turut tersenarai di dalam carta terbabit berdasarkan prestasi semasa.

Antara kehebatan Safawi termasuk membantu JDT muncul juara ‘treble’ Liga Malaysia (Liga M) musim lalu, Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan selain membantu Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 8:11 PM