MEGAT D Shahriman anggap tuduhan tidak berasas.
MEGAT D Shahriman anggap tuduhan tidak berasas.
Aida Adilah Mat


TINDAKAN ahli gabungan Persatuan Kanu Malaysia (Masca) menghantar petisyen ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) hari ini didakwa satu usaha memburukkan reputasi presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Megat dalam satu kenyataan berkata, biarpun berasa kecewa, beliau bersifat terbuka dengan keputusan ahli gabungan.

Malah beliau sendiri tidak mempunyai masalah sekiranya ada pihak yang mahu meneliti akaun Masca.

“Saya memberi jaminan yang saya tidak mengambil sebarang wang Masca untuk kegunaan peribadi atau melakukan transaksi meragukan. Hanya pihak terdesak yang akan membuat tuduhan sedemikian.

“Saya menganggap tuduhan ini tidak berasas dan untuk pengetahuan semua saya sedang melaksanakan audit persatuan terutama membabitkan Kejohanan Kanu Polo Asia 2017 di Batu Pahat, Johor yang bernilai hampir setengah juta ringgit tidak pernah diaudit dan dibentangkan di dalam mana-mana Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kanu Malaysia.

“Pada masa sama saya sedang berusaha untuk menyelesaikan beberapa isu penyelewengan membabitkan individu dalam persatuan ini dan ia dilaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis,” katanya.

Hari ini, Masca diarah untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas (AGM) dalam tempoh 30 hari selepas sembilan daripada 13 ahli gabungan menghantar petisyen kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

Ia susulan undi tidak percaya kepada Megat di atas beberapa tindakan beliau iaitu dakwaan penyalahgunaan akaun persatuan, selain dua jawatan utama iaitu Setiausaha Kehormat yang tidak diisi dan pemilihan tidak telus untuk mengisi posisi bendahari apabila memilih individu yang mempunyai pertalian persaudaraan.

Terdahulu, sebanyak dua petisyen iaitu petisyen daripada exco kepada PPS dan ahli gabungan kepada PPS diserahkan oleh Presiden Kanu Kuala Lumpur, Raja Shahrul Azremel Raja Shahar kepada wakil PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 9:45 PM