PEMAIN Kedah mengasak pemain import FC Seoul. FOTO Agensi
Izzali Ismail


PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak menganggap insiden 'tampanan' bola dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan, Renan Alves sebagai satu kesilapan besar yang mengecewakan selepas tewas 1-4 kepada FC Seoul pada aksi playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Seoul semalam.

Jurulatih kelahiran Singapura itu berkata, kekalahan skuadnya yang hanya beraksi 10 pemain jelas memberi kesan besar terhadap kekuatan pasukan yang sedang menyusun strategi pada 30 minit pertama.

"Ini bukan kesilapan kecil tapi satu kesilapan besar yang mengecewakan seluruh penyokong Kedah dan akibatnya kita terpaksa beraksi 10 pemain dan ia menjejaskan percaturan sepatutnya kita lakukan."

"Pastinya kejadian ini mengecewakan seluruh penyokong Kedah yang mengharapkan keputusan positif pada saingan ACL yang menjadi tumpuan di awal musim ini. Namun saya bersama pasukan tetap menerima pengajaran ini sebagai pengalaman berharga untuk meningkatkan prestasi di masa hadapan,” katanya.

Aidil bagaimanapun tetap memuji aksi pemain di atas kesungguhan serta komitmen tinggi ditunjukkan dalam menghadapi cabaran sengit yang dipamerkan kelab yang menduduki tangga ketiga carta liga K League 1 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 10:10 PM