PEMAIN UniKL meraikan kemenangan ke atas Maybank.
PEMAIN UniKL meraikan kemenangan ke atas Maybank.

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) merampas takhta pendahulu saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Maybank dalam aksi keenam yang berlangsung hari ini.

Beraksi buat kali pertama di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, UniKL kembali diperkuatkan kelibat tonggak senior, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil yang memakai pelindung kepala susulan pembedahan rahang sebelum ini.

Kehadiran pemain berusia 34 tahun itu memberi impak berkesan buat UniKL apabila dia menyumbang gol pertama perlawanan menerusi jaringan padang pada minit ke-12.

Tuan rumah menggandakan jaringan sebelum tamat suku pertama apabila Faridzul Afiq Mohd mencatatkan nama selaku penjaring, juga menerusi gol padang.

Maybank mempamerkan kebangkitan pada suku ketiga dan merapatkan jurang apabila Meor Muhammad Azuan Hasan menjaringan gol sebelum Muhammad Razie Abd Rahim menghadiahkan gol ketiga buat UniKL menerusi penalti stroke pada minit ke-47.

Pukulan sudut penalti Muhammad Nur Asyraf Ishak cuba membangkitkan perjuangan Maybank namun Roel Bovendeert memastikan tiga mata penuh buat UniKL dengan jaringan keempat pada minit terakhir permainan.

“Maybank memberikan tentangan cukup hebat kepada kami dan mereka bermain begitu baik sekali tetapi hari ini kami dapat manfaatkan peluang diperoleh. Kehadiran semula Tengku Ahmad Tajuddin menyuntik semangat luar biasa kepada UniKL dan saya gembira dia dapat temui sentuhan jaringan,” ujar pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

Sementara itu, hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengekalkan rekod kemenangan tidak kesampaian apabila terikat 1-1 menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) .

Perlawanan lain menyaksikan Kedah/Nurinsafi HT dan TNB Thunderbolts turut berkongsi mata selepas terikat 3-3 dalam aksi di Stadium Hoki Sungai Petani. Turut mencatat kemenangan adalah Terengganu Hockey Team (THT) yang tidak berdepan kesukaran mengetepikan tentangan Hockademy KL untuk melakar kemenangan besar 6-0.

Pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun meledak hatrik manakala tiga lagi jaringan dihasilkan Muhammad Sufi Ismat, Faizal Saari dan Jung Manjae.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 10:41 PM