Mohammed Suffian lindungi keselamatan pemain dan pegawai pasukan. FOTO NSTP
Mohammed Suffian lindungi keselamatan pemain dan pegawai pasukan. FOTO NSTP
Asrol Awang


SELEPAS mengambil kira tahap keselamatan pemain, skuad Pahang menangguhkan perancangan mengadakan aksi pramusim di luar negara berikutan wabak Koronavirus baharu.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, perancangan itu ada tetapi terpaksa menangguhkannya demi keselamatan pemain.

"Pada masa sama pihak berkuasa tidak menggalakkan rakyat negara ini ke luar negara bagi mengelak dijangkiti wabak terbabit.

"Atas sebab itu pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menangguhkan sementara perancangan untuk memastikan pemain tidak terdedah atau dijangkiti wabak itu.

"Jika diikutkan perancangan kita akan ke luar negara awal Februari tapi demi menjamin keselamatan dari segi kesihatan, kita menangguhkannya," katanya.

Mohammed Suffian berkata, sekiranya pihaknya membuat keputusan mengadakan pramusim di luar negara dalam keadaan sekarang, ia dibimbangi memberi impak kepada pasukan jika ada pemain yang dijangkiti wabak itu.

“Tindakan Selangor yang tidak menyertai aksi pramusim di luar negara adalah langkah tepat dan begitu juga Pahang yang tidak mahu sebarang kemungkinan berlaku," katanya.

Baru-baru ini, skuad Red Giants membuat keputusan tidak menyertai kejohanan jemputan Piala Meizhou Hakka di Meizhou, China. 

Wabak koronavirus adalah punca utama keputusan itu diambil bagi mengutamakan keselamatan pemain dan pegawai pasukan serta mengelakkan daripada virus itu tersebar kepada keluarga serta seluruh rakyat di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 12:52 PM