KESEBELASAN utama pemain PDRM musim lalu. FOTO Rasul Azli Samad
KESEBELASAN utama pemain PDRM musim lalu. FOTO Rasul Azli Samad
HM Digital

ADAKAH badi Kelantan beralih arah kepada PDRM dan Melaka apabila kemelut dua pasukan terbabit terbongkar selepas dikatakan sebenarnya berhadapan masalah menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Perkara terbabt diakui pemain daripada pasukan PDRM apabila memaklumkan sebenarnya tiada sebarang perbincangan awal bersama pengurusan pasukan dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Pemain yang enggan dikenali itu berkata, sehingga kini PDRM tidak membuat pembayaran tunggakan gaji sebelum memanggil pemain pada saat akhir (semalam) untuk membuat pembincangan dalam menyelesaikan masalah terbabit.

“Kami tidak menerima pembayaran, malah perbincangan dalam menyelesaikan masalah itu pun tiada sehingga ke tarikh terakhir diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Namun pemain terkejut apabila membaca berita di media menyatakan PDRM tidak berdepan masalah menyelesaikan tunggakan gaji dan sudah tandatangan perjanjian bersama pemain walaupun sebenarnya perkara terbabit tidak berlaku,” katanya.

Sebelum itu, tiga pasukan iaitu Melaka, PDRM dan Kelantan berdepan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana sekiranya gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing pada 31 Januari iaitu semalam. FAM sebelum ini sudah memberikan tempoh dua minggu bagi melangsaikan hutang berkenaan atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

Kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan mereka dipotong tiga mata serta merta dan jika mereka sekali lagi tidak dapat menyelesaikan isu terbabit pada tarikh akhir kedua iaitu pada 28 Februari, enam lagi mata dipotong.

Selepas pemotongan mata buat kali kedua, mereka berdepan penyingkiran daripada Liga Super dan Liga Perdana jika berterusan gagal menyelesaikan masalah tunggakan sehingga 30 Mac depan.

Sementara itu, Bendahari Kehormat Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Mohamad Rashidi Othman berkata, pihaknya meminta tempoh daripada FAM untuk menyelesaikan tunggakan gaji yang melanda pasukan mereka sehingga penghujung bulan ini.

Katanya, Musa sudah menyelesaikan lebih RM1 juta tunggakan gaji kepada pemain dan selebihnya dibayar dalam tempoh diberi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 6:20 AM