X
HAALAND menjaringkan dua gol untuk membantu Dortmund membelasah Union 5-0 di Signal Iduna Park. FOTO AFP
HAALAND menjaringkan dua gol untuk membantu Dortmund membelasah Union 5-0 di Signal Iduna Park. FOTO AFP
AFP

ERLING Braut Haaland mengakui bahawa dia masih lagi belum cergas sepenuhnya walaupun sudah meledak tujuh gol dalam tiga perlawanan bersama Borussia Dortmund.

Kali ini dia meledak dua lagi jaringan untuk membantu Dortmund membelasah Union Berlin 5-0 dalam saingan Bundesliga semalam.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang menjaringkan lima gol dalam dua penampilan awal selepas dibeli dari Salzburg, mencatat nama sebagai penjaring di kedua-dua separu masa di Signal Iduna Park ketika kali pertama diturunkan dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Norway itu menjelaskan dia masih lagi belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan lutut bulan lalu dan sedikit mengganggunya dalam latihan.

“Ia sedikit sukar hari ini (semalam) namun sesuatu yang mengujakan dapat beraksi sejak dari awal.

“Saya perlu lebih cergas, sekarang masih belum 100 peratus,” kata Haaland.

Dortmund masih lagi di tangga ketiga liga, tiga mata di belakang pendahulu Bayern, yang menumpaskan Mainz 3-1.

Pemain sayap England, Jadon Sancho menjadi pemain remaja pertama menjaringkan 25 gol dalam saingan Bundesliga memulakan penguasaan Dortmund ke atas Union dengan melakukan sepakan lambung melepasi penjaga gol, Rafal Gikiewicz.

Haaland menambah gol kedua pada minit ke-18 dengan mudah menampan hantaran lintang Julian Brandt.

Dia juga berjaya meraih sepakan penalti pada minit ke-68 dan mudah disempurnakan ketua pasukan, Marco Reus.

Pemain tengah, Axel Witsel menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-70 dengan melakukan rembatan hasil hantaran bijak Sancho yang memperdayakan dua pertahanan lawan.

Haaland, melengkapkan malam gemilang Dortmund apabila menyempurnakan hantaran Brandt untuk sekali lagi menewaskan Gikiewicz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 1:43 PM
Digital NSTP Subscribe