Jun Hoong berlatih di bawah bimbingan Yang Zhuliang. FOTO File NSTP
Jun Hoong berlatih di bawah bimbingan Yang Zhuliang. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


TIADA perancangan untuk membawa pulang penerjun negara, Cheong Jun Hoong ke tanah air, itulah jawapan diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas merasakan juara dunia 2017 lebih selesa berlatih di Guangzhou di bawah program khas.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, Jun Hoong berada di Guangzhou iaitu bukan tempat penyebaran wabak Koronavirus.

"Kebetulan dia memperoleh suasana latihan yang terbaik dan seperti kuarantin. Jun Hoong sedang menikmati kemudahan dan suasana latihan dengan bagus dan jurulatih, Yang Zhuliang juga minta tangguh dulu, jika terdesak baru akan balik ke Malaysia," dalam sidang media di Bengkel Pelan Periodisasi 2020 Program Podium hari ini.

Ahmad Shapawi berkata buat masa sekarang mereka akan memantau keadaan dari masa ke semasa. "Setakat ini belum ada nasihat supaya dia perlu balik (ke Malaysia).

Kecuali kalau Jun Hoong sendiri rasa tidak selesa. Jika ada keputusan untuk dia perlu pulang, maknanya Zhuliang juga akan balik sekali.

"Memang Zhuliang dibayar untuk menjaga Jun Hoong dan tugasan pertamanya adalah memastikan penerjun negara itu bersedia dan ujian pertamanya ialah kejohanan percubaan.

"Jika kejohanan berkenaan dia tidak mempamerkan prestasi terbaik, bermakna dia belum bersedia dan program khas ini (bersama Zhuliang) akan ditamatkan," katanya.

Hanya Jun Hoong berada di China untuk menjalani latihan, manakala lima penerjun negara yang berlatih di negara berkenaan, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng, Kimberly Bong dan Enrique Harold sudah pulang ke negara ini.

"Kalau jurulatih dan Jun Hoong minta mahu pulang sebab rasa kurang selesa baru kita bawa mereka pulang, sebab sebelum ini penerjun lain di Chengdu mereka rasa kurang selesa bukannya kita menyuruh mereka pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 12:30 AM