HARRIF duduki tempat kedua  Kriterium Antarabangsa di Padang Merdeka. FOTO Luqman Hakim Zubir
HARRIF duduki tempat kedua Kriterium Antarabangsa di Padang Merdeka. FOTO Luqman Hakim Zubir
Aida Adilah Mat


PERMULAAN baik buat pelumba negara, Mohd Harrif Saleh yang berjaya menduduki kedudukan podium apabila menamatkan saingan di tempat kedua perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu, Sabah sempena perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

Namun Harrif terpaksa akur kehebatan pelumba pasukan WorldTour, NTT Pro Cycling Team, Maximilian Walscheid yang terlebih dahulu melepasi garisan penamat dengan catatan 1 jam 42:01 saat dalam perlumbaan yang menyaksikan penamat beramai-ramai.

Bagaimanapun, kejayaan mengatasi Blake Quick yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga menyuntik semangat Harrif untuk saingan sebenar LTdL yang akan membuka tirai esok di Kuching, Sarawak.

“Syukur kerana saya sendiri tak percaya dapat menduduki podium. Saya rasa saingan memang sukar sedikit tapi saya tak kisah pasukan WorldTour kerana lawan tetap lawan,” katanya yang meraih kemenangan peringkat kedua pada saingan tahun lalu.

Saingan Kriterium Antarabangsa sejauh 80km pertama kali diperkenalkan sempena sambutan jubli Perak LTdL 2020, sebagai pemanas badan sebelum saingan sebenar bermula esok. #PETRONASLTDL2020 #PengejarImpian

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 1:18 PM