PANDAK jelas kecewa apabila sukan yang popular dalam kalangan belia ini tidak dipertandingkan di SUKMA Johor.  FOTO Zain Ahmed
PANDAK jelas kecewa apabila sukan yang popular dalam kalangan belia ini tidak dipertandingkan di SUKMA Johor. FOTO Zain Ahmed
Rizar Mohd Noor


PERSEKUTUAN Bola Baling Malaysia (MAHF) kesal selepas acara bola baling tidak dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor yang akan bermula dari 11 hingga 19 Julai ini.

Presiden MAHF yang baharu dilantik lima hari lalu, Pandak Ahmad mempersoalkan pihak penganjur tidak memasukkan acara berkenaan pada temasya kali ini, tatkala dua tahun lalu di Perak, sukan itu dipertandingkan.

Beliau yang pernah memegang jawatan tertinggi selama dua penggal pada 2011 hingga 2016, dilantik semula pada tahun ini selepas menewaskan Datuk Majid Manjit Abdullah dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung persekutuan itu diadakan di Ipoh pada 1 Februari lalu.

Pandak jelas kecewa apabila sukan yang popular dalam kalangan belia ini tidak dipertandingkan.

"Kami amat kecewa kerana sukan bola baling tidak dipertandingkan, malah Johor menjadi tuan rumah pada temasya SUKMA tapi sukan itu tidak diadakan. Walaupun bola baling sukan pilihan dan bukan sukan teras tapi sewajarnya sukan itu dipertandingkan

"Mungkin permohonan oleh kepimpinan lama tidak bersungguh-sungguh maka sukan bola baling tercicir dan tidak dimasukkan pada temasya SUKMA kali ini. Apa pun saya ingin tegas prestasi skuad bola baling semua pasukan di Malaysia mula meningkat tapi dipinggirkan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk pelaksanaan yang lebih ampuh bagi memperkasakan sukan bola boling, Pandak mengesahkan akan cuba untuk bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi program `rakan bijak' bagi meningkatkan lagi mutu sukan berkenaan.

Katanya, selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli gabungan persekutuan itu, rata-rata ahli-ahli gabungan mahu lebih banyak program pembangunan sukan bola baling diadakan untuk memastikan sukan itu mendapat pendedahan terbaik bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat antarabangsa.

"Di peringkat Asia Tenggara, kita dibawah program `under developing country' (UDC) dan menerusi program itu kita boleh dapat banyak bantuan daripada Persekutuan Bola Baling Antarabangsa (IHF) dan sasaran utama kita adalah memastikan program akar umbi dijalankan dengan lebih konsisten.

"Kita tengok Thailand, mereka begitu kuat dalam sukan bola baling kerana mereka bermula di peringkat remaja dan sekarang agak sukar untuk tewaskan pasukan itu, malah Indonesia juga menunjukkan peningkatan mendadak," kata Pandak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:40 PM