ZLATAN Ibrahimovic. FOTO Reuters
ZLATAN Ibrahimovic. FOTO Reuters
AFP

KEPULANGAN Zlatan Ibrahimovic ke AC Milan menjadikan pertarungan ‘derby’ menentang Inter Milan pada Ahad ini lebih menarik dengan pemain veteran Sweden itu berhasrat menjejaskan misi skuad Antonio Conte merapatkan jurang dengan pendahulu Serie A, Juventus.

‘Derby’ Milan pertama Ibrahimovic sebagai pemain Inter 13 tahun lalu manakala kali terakhir bersama AC Milan pada Mei 2012 dengan menjaringkan dua gol namun tewas 2-4.

Ibrahimovic muncul penjaring terbanyak musim itu dengan 28 gol tetapi Milan kehilangan gelaran Serie A kepada skuad Conte Juventus, yang pertama buat gergasi Turin sebelum menang lapan kali berturut-turut.

Pemain berusia 38 tahun itu kembali ke Milan selepas kali terakhir membantu kelab meraih gelaran Serie A pada 2011 dan terbukti mencetuskan impak apabila melonjak ke tangga kelapan, tujuh mata di belakang slot Liga Juara-Juara.

Milan menang tiga kali berturut-turut ketika Ibrahimovic beraksi tetapi mereka diikat Hellas Verona 1-1 minggu lalu namun pemain Sweden itu tidak diturunkan akibat selesema.

Pengarah AC Milan, Zvonimir Boban memuji impak Ibrahimovic dengan menegaskan bintang veteran itu bagaikan tidak sabar menunggu aksi unik ‘derby’.

Juventus pula berkunjung ke Verona esok dengan Cristiano Ronaldo berusaha menembusi gawang lawan dalam 10 perlawanan berturut-turut untuk mengejar penjaring terbanyak Serie A dari Lazio, Ciro Immobile dengan 25 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 8:55 AM