FEDOROV (tiga dari kanan) berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan lumba PETRONAS LTdL 2020 peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kerteh sejauh kilometer 175.5. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
FEDOROV (tiga dari kanan) berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan lumba PETRONAS LTdL 2020 peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kerteh sejauh kilometer 175.5. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aida Adilah Mat


PELUMBA 19 tahun dari pasukan Ara Pro Racing Sunshine Coast, Taj Jones membuktikan kehandalan apabila menguasai peringkat 2 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Kuala Terengganu ke Kerteh hari ini.

Menawarkan laluan terpanjang pada edisi kali ini iaitu sejauh 175.5 kilometer (km) Jones menamatkan perlumbaan dalam saingan yang menyaksikan penamat beramai-ramai ke garisan penamat dengan catatan masa empat jam lima minit 29 saat.

Tempat kedua milik Maximilian Walsceid dari NTT Team dan Jeremy Lecroq (B&B Hotel Vital Concept) melengkapkan kedudukan podium.

Manakala, Mohd Harrif Saleh dari Terengganu Cycling muncul pelumba terbaik Malaysia apabila menamatkan saingan di kedudukan kelima.

Biarpun begitu, tiada pertukaran jersi apabila pelumba Kazakhstan dari Pasukan Vino Astana Motors, Yevgeniy Fedorov masih lagi gah menyarung tiga jersi utama iaitu Jersi Kuning PETRONAS, Jersi Putih dan Jersi Hijau PETRONAS.

Namun juara remaja Asia itu tidak mampu memberi jaminan bahawa mampu untuk mengekalkan ketiga-tiga jersi berkenaan esok.

“Hari ini laluan sukar sedikit. Kami cuba untuk kekal keenam-enam pelumba dalanm kelompok besar supaya dapat menamatkan perlumbaan dalam kelompok besar selepas berlaku pemecahan di awal perlumbaan.

“Saya gembira dapat kekalkan jersi hari ini tapi esok dan peringkat keempat adalah peringkat penting yang akan memastikan jersi ini kekal atau tidak,” kata Fedorov.

Perlumbaan yang penuh saingan itu menyaksikan pemecahan membabitkan lima pelumba Mattia Viel (Androni), Alessandro Iacchi (Zabu), Rylee Field (Bridgelane), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (Sapura) dan Colby Lange (Wildlife) berlaku di km 20 sebelum peloton besar berjaya menangkap kelompok pemecah ketika saingan berbaki tiga km terakhir yang menyaksikan kemalangan membabitkan beberapa pelumba berlaku.

Esok saingan diteruskan dari Temerloh ke Kuala Lumpur meliputi jarak 162.5km dengan tiga zon pecutan di Bandar Mentakab, Desa Bakti dan Mempaga dengan saingan pendakian akan bermula di Bukit Damar, Bentong dan Genting Sempah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 9:05 PM