FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak lagi akan mempertimbangkan awang import berusia lebih 30 tahun sebagai pemain naturalisasi sebaliknya menetapkan mereka perlu dalam kalangan ‘ubi muda’ supaya boleh beraksi bersama skuad kebangsaan dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, fasa pertama pemain naturalisasi negara sudah hampir selesai dengan terbaharu Liridon Krasniqi sudah boleh beraksi untuk negara manakala Guilherme de Paula dalam proses untuk mengikut jejak langkah pemain berkenaan.

Beliau berkata, perancangan masa depan adalah menyasarkan pemain import muda terutama di Liga M3 yang akan diserap beraksi bersama skuad kebangsaan jika memenuhi kriteria ditetapkan FAM.

“Setakat ini ada beberapa pemain import muda memenuhi kriteria berkenaan antaranya Romel Morales Ramirez yang kini beraksi bersama pasukan Melaka cuma tempoh dia menetap di Malaysia masih belum mencukupi.

“Kita tidak mahu lagi mengambil pemain import lebih berusia kerana mungkin khidmat mereka tidak boleh digunakan dalam tempoh lama.

“Bagi kes Liridon dan de Paula, kita sekarang ini ketandusan penyerang berbisa dan kehadiran dua pemain ini nanti boleh menyelesaikan masalah terbabit,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Liridon yang berasal dari Kosovo dan penyerang dari Brazil, de Paula disenaraikan sebagai dua calon untuk pemain naturalisasi negara.

Bagaimanapun, de Paula yang berhijrah ke pasukan Perak dari Kuala Lumpur musim ini terpaksa menunggu lebih lama ekoran beberapa dokumen yang tidak lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 6:01 AM