TUN Dr Mahathir  (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh (lima kiri) bergambar bersama pemenang Jersi Kuning -Danilo Celano,  Jersi  Hijau - Max Walscheid, Jersi Merah - Muhammad Nur Aiman   dan Jersi  Putih -  Yevginiy Federov pada majis penyampaian trofi  di Langkawi.  FOTO Luqman Hakim Zubir
TUN Dr Mahathir (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh (lima kiri) bergambar bersama pemenang Jersi Kuning -Danilo Celano, Jersi Hijau - Max Walscheid, Jersi Merah - Muhammad Nur Aiman dan Jersi Putih - Yevginiy Federov pada majis penyampaian trofi di Langkawi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Aida Adilah Mat


ANAK kepada peniaga pasar malam, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dari Team Sapura Cycling (TSC) kini mampu menggegar dunia selepas muncul pelumba tempatan pertama menyarung Jersi Merah selaku Raja Bukit dalam saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020LTdL yang melabuhkan tirainya hari ini.

Kejayaan itu sangat gemilang kerana selepas 25 tahun menanti sejak edisi pertama 1996, akhirnya Malaysia mempunyai pelumba yang mampu bergelar penakluk bukit.

Aiman berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pelumba seperti Anuar Manan yang pernah menyarung Jersi Hijau (Raja Pecut), Adiq Hussaini Othman - Jersi Putih (Juara Asia) ketika dia baru berusia 23 tahun.

Berasal daripada keluarga serba kekurangan di Terengganu, tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menakluk dunia dan apa dilakarkan di LTdL tahun ini hanya satu permulaan untuk terus mencipta sejarah dalam perlumbaan basikal lebuh raya.

AIMAN sujud syukur selepas tamat perlumbaan di Langkawi.
AIMAN sujud syukur selepas tamat perlumbaan di Langkawi.

Tamat Peringkat 8 membabitkan jarak 108.5km mengelilingi Langkawi dengan tujuh zon pendakian ditawarkan, Aiman memulakan perlumbaan dengan merebut mata zon pendakian pertama untuk terus meninggalkan pencabarnya dengan kelebihan 11 mata mengatasi Quentin Pacher dari B&B Hotels-Vital Concept KTM 23 mata dan Samuele Battistella, NTT Pro Cycling 18 mata.

“Alhamdulillah hari ini dari mula perlumbaan semua berjalan lancar. Masa perlumbaan tiada kecelakaan dan pendakian pun mudah.

“Tuhan bagi laluan mudah untuk Aiman. Terima kasih kepada semua yang sentiasa doa untuk Aiman. Terima kasih pada mak dan ayah yang sentiasa bagi Aiman semangat dan doa untuk Aiman sebelum perlumbaan,” katanya.

Selain Aiman, pelumba dari Terengganu Cycling Team, Mohd Harrif Saleh turut mencuri tumpuan dengan kejayaan muncul juara dua peringkat iaitu peringkat 5 dan tujuh.

Malah Perdana Menteri Malaysia Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berbangga dengan kejayaan pasukan tempatan TSC mencipta sejarah tersendiri dengan mempertahankan Jersi Kuning PETRONAS (keseluruhan) yang menjadi rebutan setiap pelumba menerusi Danilo Celano.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 9:39 PM