PEMAIN THT cuba menembusi gawang Hockademy. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


HATRIK pakar pukulan sudut penalti Pasukan Hoki Terengganu (THT), Jang Jonghyun membantu pasukannya membelasah pendatang baharu Liga Hoki Malaysia (MHL) Hockademy 6-0 dalam aksi berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) petang tadi.

THT yang dibimbing bekas pengendali skuad wanita kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bermula garang dengan gol pertama diperolehi pada minit keenam menerusi pemain muda meningkat naik, Muhammad Shahrin Izzuddin Shamsuri.

Gol padang itu diperolehi hasil hantaran silang dari sebelah kiri seorang lagi pemain muda, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee.

Selepas jaringan itu, THT yang lebih banyak menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan berbahaya gagal menambah jaringan selepas dinafikan kekentalan pertahanan skuad pelawat yang dibimbing S Selvaraju.

Bagaimanapun, memasuki minit ke-26, Jonghyun tidak melepaskan peluang terhidang apabila mudah menolak masuk gol kedua pasukannya menerusi pukulan sudut penalti hasil hantaran pemain import kelahiran Pakistan, Muhamad Umar Bhutta untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Jonghyun sekali lagi menambah gol skuadnya apabila meledak gol ketiga juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35 untuk mengukuhkan kedudukan 3-0.

THT mendapat gol keempat menerusi gol padang hasil pukulan menarik Umar Bhutta pada minit ke-53 sebelum penyerang kebangsaan, Faizal Saari menambah gol kelima THT pada minit 57.

Ketika perlawanan berbaki lima saat sebelum ditamatkan, penyerang skuad kebangsaan Korea Selatan itu, Jonghyun menambah derita pelawat apabila meledak gol keenam pasukannya untuk menjadikan kedudukan 6-0 hingga tamat perlawanan.

THT kini mengumpul 30 mata dengan baki satu perlawanan bertemu Maybank pada Ahad ini.

Sementara itu Dhaarma bangga dengan prestasi pemainnya yang beraksi dengan baik mengikut taktikal dirancang.

"Kita yakin perlawanan hari ini kita akan dapat tiga mata bagi mengintai kedudukan kedua liga, kita tidak mengejar jaringan gol yang banyak, tapi dengan enam jaringan pada petang ini ia begitu menggembirakan kami.

"Lagipun taktikal kita sedikit berlainan, jadi kita harap taktikal ini dapat membantu pasukan mengulangi kejayaan merangkul Piala TNB musim ini," ujar Dhaarma yang turut menyasarkan tiga mata bertemu Maybank pada aksi terakhir liga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 10:54 PM