AB Ghani Hassan.
Firdaus Hashim


"POTONG habis...mungkin kurang 50 peratus daripada dana sebelum ini," kata sumber yang mendedahkan setiap pasukan Liga Malaysia (Liga-M) kemungkinan akan menerima kurang separuh daripada dana diraih pada 2018.

Jika benar, ini bermakna 12 pasukan dalam saingan Liga Super akan menerima RM1.5 juta berbanding RM3 juta sebelum ini.

Pengurangan 50 peratus turut membabitkan 12 pasukan dalam Liga Perdana dengan jumlah RM500,000 berbanding RM1 juta diterima dua musim lalu.

Jelas sumber, nilai itu tidak dapat dielakkan memandangkan jumlah tajaan diterima Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga sedikit daripada dua penaja utama iaitu Telekom Malaysia (TM) dan CIMB.

"Jumlah keseluruhan kali ini tak sama seperti 2018. Dengan ekonomi sukar dijangka, tak banyak syarikat berani nak melabur. Tapi sekurang-kurangnya MFL berusaha untuk memastikan setiap pasukan meraih sesuatu musim ini.

Walaupun jumlahnya kecil, saya percaya usaha MFL ini akan membuka mata syarikat lain untuk tampil ke depan sekaligus membantu menaja bola sepak kita.

"Biar sikit asalkan dapat, daripada tak dapat langsung. Selebihnya pasukan kena berdikari mencari dana sendiri bagi menampung keperluan pasukan masing-masing," katanya.

Semalam, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan membayangkan kemungkinan semua pasukan liga tempatan tidak akan menikmati pemberian dana yang besar seperti 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 12:45 AM