SKUAD PDRM musim lalu.
Firdaus Hashim


PDRM FA semakin kesuntukan masa menjelang tarikh akhir 28 Februari ini sekiranya isu tunggakan gaji pemain import musim lalu masih gagal diselesaikan.

Selepas dipotong tiga mata bulan lalu, skuad The Cops berisiko berdepan pemotongan enam mata lagi sebelum sepak mula Liga Malaysia berlangsung pada tarikh sama tempoh akhir yang diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada mereka.

Arena Metro yang menghubungi Setiausaha Kehormat PDRM FA, ACP Zulkefly Yahya memaklumkan, pihaknya masih sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan dengan tonggak import bagi menyelesaikan tunggakan gaji secara ansuran.

"Kita sedang berusaha. Masih lagi dan cuba," katanya ringkas berkenaan perkembangan terkini mengenai isu itu.

Seandainya PDRM gagal, mereka akan memulakan aksi Liga Super dengan defisit sembilan mata sekaligus memberi gambaran betapa cabaran sukar bakal ditempuhi anak buah Ishak Kunju Mohamad untuk melakar sesuatu musim ini.

Bagaimanapun, hukuman lebih berat bakal menanti dengan boleh disingkirkan daripada saingan Liga Super musim ini sekiranya masih gagal menyelesaikan masalah itu penghujung bulan depan.

Sebelum ini, PDRM serta dua lagi pasukan, Melaka dan Kelantan diberikan tempoh sehingga 31 Januari lalu untuk melangsaikan hutang atau mencapai persetujuan dengan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai terbabit.

Bagaimanapun, hanya Melaka dan Kelantan terlepas daripada hukuman itu selepas mencapai kata sepakat bersama pemain dan pegawai masing-masing sekaligus menyaksikan PDRM dipotong tiga mata.

Melaka difahamkan berjaya membayar RM2.1 juta daripada tunggakan RM2.7 juta dalam tempoh berkenaan dan sudah membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang tertunggak.

Kelantan pula melangsaikan RM1 juta daripada tunggakan RM1.6 juta manakala membuat persetujuan pelan penyelesaian untuk baki yang ada.

Begitupun, nasib kurang baik buat PDRM apabila tonggak import enggan menerima pelan penyelesaian ketika rundingan dengan pemain tempatan tidak berdepan sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 12:52 AM