SETIAP pasukan Liga M mungkin hanya terima separuh daripada nilai geran 2018. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


SETIAP pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) mungkin hanya menerima separuh daripada nilai geran pada 2018.

Ini bermakna, 12 pasukan dalam saingan Liga Super akan menerima RM1.5 juta berbanding RM3 juta sebelum ini.

Pengurangan 50 peratus turut membabitkan 12 pasukan dalam Liga Perdana dengan jumlah RM500,000 berbanding RM1 juta diterima dua musim lalu.

Menurut sumber, nilai itu tidak dapat dielakkan memandangkan jumlah tajaan yang diterima oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga sedikit daripada dua penaja utama iaitu Telekom Malaysia (TM) dan CIMB.

“Jumlah keseluruhan kali ini tak sama seperti 2018. Dengan ekonomi yang sukar dijangka, tak banyak syarikat yang berani nak melabur.

“Tapi sekurang-kurangnya MFL berusaha untuk memastikan setiap pasukan meraih sesuatu musim ini. Walaupun jumlahnya kecil, saya percaya usaha MFL ini akan membuka mata syarikat lain untuk tampil ke depan sekali gus membantu menaja bola sepak kita.

“Biar sikit asalkan dapat, daripada tak dapat langsung. Selebihnya pasukan kena berdikari mencari dana sendiri bagi menampung keperluan pasukan masing-masing,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan membayangkan kemungkinan semua pasukan liga tempatan tidak akan menikmati pemberian dana besar seperti 2018.

Meskipun MFL berjaya menarik TM dan CIMB untuk menaja Liga M, ketidaktentuan ekonomi semasa menyebabkan jumlah tajaan tidak semewah dulu.

Sebaliknya, beliau mahu semua pihak realistik dan bersedia dengan jumlah dana yang akan diumumkan kepada rakan kongsi dalam masa terdekat.

Sebelum ini, akhbar ini mendedahkan nilai tajaan yang diterima daripada TM berjumlah RM30 juta untuk tiga musim manakala CIMB RM10 juta bagi tempoh dua musim, sekali gus meraih nilai terkumpul sebanyak RM40 juta.

Berdasarkan perkiraan matematik, seandainya RM1.5 juta dibahagikan kepada 12 pasukan Liga Super dan RM500,000 untuk 12 pasukan Liga Perdana, ini bermakna jumlah keseluruhan yang akan diagihkan adalah sebanyak RM24 juta bagi musim ini.

Selebihnya, akan digunakan bagi tujuan operasi Liga M dan pengurusan MFL sepanjang musim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:10 AM