PENGURUS di Serie A mahu hak mereka boleh mencabar keputusan pengadil di atas padang. FOTO REUTERS
Reuters

PERSEKUTUAN Bolasepak Itali (FIGC) meminta Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) mmeperkenalkan sistem, di mana pasukan yang beraksi di Serie A boleh mencabar keputusan pengadil dan menggunakan kepakaran teknologi untuk campur tangan.

Liga utama Itali itu memperkenalkan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) pada musim 2017-18 namun ia dikritik oleh pengurus Serie A yang merasakan penggunaan teknologi harus melihat kepada keputusan kontroversi dilakukan pengadil di atas padang.

Napoli dan Parma bengang dengan keputusan VAR minggu lalu selepas keputusan yang salah dilakukan oleh pengadil, apabila mereka tidak diberikan penalti dan FIGC percaya pengurus harus diberikan hak untuk mencabar keputusan seperti dilakukan sukan tenis.

FIGC berkata mereka menerima permohonan dari beberapa kelab Serie A dan akan membawa perkara berkenaan ke badan induk dunia, FIFA dan ini bermaksud mereka bersedia melakukan eksperimen dalam penggunaan mencabar keputusan pengadil.

IFAB akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di Belfast pada 29 Februari dan antar subjek utama yang akan dibincangkan ialah mengenai perkembangan VAR.

Presiden FIGC, Gabriele Gravina juga meminta Ketua Pengadil Serie A, Nicola Rizzoli untuk memberi tunjuk ajar kepada pengadil untuk menggunakan VAR jika ada keputusan kontroversi tatkala perlumbaan merebut kejuaraan liga di Itali semakin hangat sekarang ini.

Inter Milan dan Juventus berkongsi mata di puncak liga dengan mengumpul 54 mata, manakala Lazio di tempat ketiga dengan hanya dibezakan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 9:12 AM