JOHAN Le Bon (tengah) muncul pemenang tempat pertama pada Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia diiringi tempat kedua, pelumba Australia dari Team Sapura Cycling, Jesse Ewart (kiri) manakala tempat ketiga dimenangi pelumba Perancis dari Nippo Delko One Provence, Lucas De Rossi (kanan). FOTO Luqman Hakim Zubir
JOHAN Le Bon (tengah) muncul pemenang tempat pertama pada Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia diiringi tempat kedua, pelumba Australia dari Team Sapura Cycling, Jesse Ewart (kiri) manakala tempat ketiga dimenangi pelumba Perancis dari Nippo Delko One Provence, Lucas De Rossi (kanan). FOTO Luqman Hakim Zubir
Aida Adilah Mat


PELUMBA B&B Hotels-Vital Concept, Johan Le Bon dinobatkan juara edisi sulung Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia di Langkawi bersempena siri perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dengan catatan masa tiga jam 37 minit tiga saat.

Le Bon menewaskan Jesse Ewart dari Team Sapura Cycling (TSC) dan Lucas De Rossi (Nippo Delko One Provence) masing-masing untuk tempat kedua dan ketiga dalam saingan yang membabitkan jarak sejauh 159km dengan enam zon pendakian dan enam zon pecutan ditawarkan.

Perlumbaan sehari itu turut menobatkan pelumba terbaik Asia yang menjadi milik Matvey Nikitin dari Vino Astana Motors manakala Cristian Raileanu (TSC) raja pecut dan Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff sekali lagi muncul raja bukit.

Bagi Le Bon kemenangan di Langkawi satu permulaan yang baik untuk dirinya dan berharap akan terus dapat membantu pasukannya di masa depan.

“Ini kemenangan pertama saya untuk tahun ini dan saya gembira dapat melakukannya di Langkawi.

“Percaturan saya adalah untuk terus kekal dalam kelompok pertama dan mengekori rapat pelumba Sapura supaya tidak ketinggalan jauh dan taktik itu menjadi sehingga saya berjaya memenangi perlumbaan.

“Saya gembira dapat kembali ke Malaysia dan LTdL sentiasa meninggalkan kenangan indah untuk karier saya dan pasukan,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Shahaizereen A Hamid berkata, pihaknya bersedia menimbang untuk menganjurkan perlumbaan klasik itu sebagai acara tahunan sempena kehangatan LTdL.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:39 PM
Digital NSTP Subscribe